BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, 18 September 2011

BUAYA JULANG MAYAT MANGSA



Kebimbangan buaya ganas di Sungai Sebelak, Kabong, akan ‘membalas dendam’ selepas pihak berkuasa melancarkan operasi memburu reptilia itu Julai lalu, menjadi kenyataan apabila seorang penduduk Kampung Roban menjadi mangsa terbaru dibaham buaya, awal pagi, semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, mangsa Sulaiman Abdullah, 66, bersama anak, Endoi, 40, dan cucunya, Nazri, 9, dikatakan sedang menangkap udang di kawasan sungai berdekatan kampung mereka sebelum seekor buaya sepanjang tiga meter, menerkamnya.Sulaiman yang sedang berdiri di dalam perahu terjatuh ke dalam sungai dengan anak dan cucunya gagal membantu kerana cuaca gelap serta bimbang diserang buaya.Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintendan Lee Thai Lein, berkata tiga beranak itu dilaporkan turun ke Sungai Sebelak pada jam 3 pagi untuk memasang perangkap udang ketika air sungai surut.

Balai Polis Roban menerima laporan mengenai serangan pada jam 7 pagi sebelum operasi mencari mangsa dilancarkan pihak berkuasa bersama penduduk kampung di sekitar Sungai Sebelak, katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Kebimbangan ‘Bujang Sebelak’ akan mengganas kembali timbul selepas penduduk kampung mendakwa melihat banyak reptilia itu timbul di kawasan berdekatan kampung selepas operasi membunuh reptilia itu dilakukan pihak berkuasa sebelum ini.

Sementara itu, saksi yang melihat mayat mangsa dijulang buaya, Safri Hassan, 20, berkata ketika dia melalui kawasan lubuk sungai pada jam 10 pagi dan melihat seekor buaya menjulang mayat mangsa yang juga bapa saudaranya.

Kami cuba memburu buaya berkenaan namun ia kembali tenggelam apabila bot yang dinaiki pencuba menghampirinya… saya percaya mayat manusia yang dijulangnya adalah bapa saudara saya berdasarkan pakaiannya, katanya.

Sehingga lewat petang, mayat mangsa masih gagal ditemui dengan operasi mencari terpaksa ditangguhkan sementara berikutan faktor cuaca.